Tuesday, 28 January 2014

Plaster Hati

Assalamualaikum w.b.t

Hati itu ada tempat dan darjat yang sangat tinggi. Sedang Imam Al-Ghazali sendiri meletakkan perbahasan soal hati sebagai fokus utama karya beliau. Dimana tempat hati? Secara fizikalnya hati didefinasikan sebagai nyawa, atau jantung...tapi bagi Imam Al-Ghazali, hati itu ada makna yang lebih halus. 

"Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya,. Jika ia rosak,rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati."
(Riwayat al-Bukhari)

Perbicaraan soal hati tidak terhenti kepada perkara-perkara yang biasa-biasa kita dengar. Bukan juga terletak kepada kadar waktu dan tempat. Tetapi soal hati menjadi titik tolak kepada keutuhan jiwa ketuhanan dalam diri manusia. Hati yang tidak mengenal Allah adalah hati yang buta. Seperti dalam firman Allah:

"...Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang di dalam dada."
(Al-Haj - 46)"

Menyingkap makna hati dalam konteks kaunseling menjadikan saya tertanya-tanya, apakah kita punya method untuk menampal luka-luka di hati (a.k.a plaster hati)..Apakah hati yang halus dan abstrak sifatnya ini mampu untuk kita murnikan? Dan jawapannya:-

"Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

Mudah...bunyi macam mudah...tapi perlaksanaannya belum pasti. Kerana hati yang leka, jauh terperusuk dalam maksiat, tenggelam dalam kesibukan dunia, akan menjadi keras dan sukar untuk dilembutkan. Lalu hati-hati ini akan menjadi busuk dan bernanah andai luka kecil tidak diplaster terlebih dahulu..ibarat jalanraya yang berlubang. Lubang di atas jalan akan menjadi semakin besar dan mendalam andai tidak diturap. Begitu juga hati. Luka-luka hati yang tidak segera diplaster akan mengundang pelbagai penyakit hati (sombong, riak, dengki, was-was, dll)...lalu akan berjangkit kepada masyarakat sekeliling.

Jadi hati perlu diplaster dengan zikrullah..dan zikir yang WAJIB 5x sehari kita buat adalah solat..pernah saya terdengar ustaz pahrol kata "biar leka ketika berzikir, jangan leka tanpa zikir.". Saya mentafsir perkataan beliau sebagai satu tanda bahawa zikir ini perlu ada usaha berterusan, walaupun dalam keadaan kita yang paling lemah. Bagaimana method pengukuran keberkesanaan plaster yang kita tampal? Dan apakah KPI dan KAI kita (Key Performance Indicator; Key Amal Indicator).

Saya mudahkan begini: -

>> Rukun Iman adalah software kita
>> Rukun Islam adalah hardware kita

Kita mengukur ramuan plaster kita dengan tahap keimanan kita terhadap Rukun Iman; manakala keputusannya yang boleh diukur dan dilihat adalah kepatuhan kita kepada Rukun Islam. Konsep ini bukanlah suatu yang baru, bahkan Islam itu adalah agama yang lengkap. Segala yang kita temui masa kini sudah terangkum dalam kitab Al-Quran, hanya aqal manusia itu lemah sedangkan ilmu Allah itu Maha Luas..

Hati juga sangat berkait rapat dengan niat. Segala ibadah kita perlu dimulakan dengan lintasan niat (dalam hati)...Ini membuktikan kepada kita betapa hebatnya peranan hati.

"Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya."
(Riwayat al-Bukhari)

Jadi sebagai peringatan buat diri saya yang selalu lupa dan leka, sering mengukur dunia berbanding akhirat, sering mengeluh kesah kerana susahnya dunia..ayuh plaster hati-hati kita. Palingkan hati kita supaya hanya menghadap Allah s.w.t. Letakkan tawakal hanya kepada Dia, kerana dunia memang dijadikan sebagai pentas ujian, Terluka itu sudah pasti ada dalam kamus khalifah dunia, tetapi kemanisan proses penyembuhan itulah yang kita patut impikan.

Saya tutup post ini dengan kata-kata ustaz Pahrol.

"Jangan minta hidup yang mudah, tapi mintalah hati yang kuat untuk hidup"

M.

No comments:

Post a Comment