Friday, 15 May 2015

Sukarnya Menggapai Taubat Nasuha

Bismillahirahmanirrahim..

Segala puji bagi Allah yang sentiasa membuka ruang dan peluang untuk hambaNya berlari menuju rahmatNya. Ucapan salam dan pujian kepada kekasih hati, Nabi Muhammad S.A.W dan para keluarga serta sahabat baginda. Kepada mereka-mereka yang telah mendahului kita ke alam barzah- Al-Fatihah kita sedekahkan. Moga-moga mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan semoga kita turut sama menjejaki mereka dalam redhaNya. Allahuma amin...

Setiap anak dari zuriat keturunan Adam itu sentiasa diuji dan diasak dengan pelbagai ragam keduniaan. Begitu ramai anak Adam yang tersungkur - tewas dalam medan perperangan jiwa. Yang terzahir kelihatan sempurna. Namun yang tersembunyi hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Begitu banyak ayat-ayat Allah dalam Quran untuk mengingatkan anak Adam supaya tidak mengikuti jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu membawa kebinasaan. Tapi, masih lagi kita terpesona dengan tipu daya syaitan. Bahkan, semakin kita cuba melawan - makin rancak kita diasak. Sehinggakan setiap detik hati ini sentiasa berperang antara nafsu dan iman. Terkadang berjaya iman..terkadang tewas kepada nafsu. Letihnya menjadi manusia yang hamba kepada nafsu.

Di tingkatan yang lebih tinggi sedikit. Ilmu telah kita perolehi. Yang haq dan yang yang batil telah kita hadam. Tapi jiwa yang sakit masih lemah untuk mengaplikasi ilmu yang diterima. Benarlah pesanan murabbi, anak muda akhir zaman imannya hanya sampai dikerongkongan sahaja. Tidak lebih dari itu. Lajunya anak muda keluar dari agama, ibarat busur panah yang sangat laju. Allahurabbi...hinanya diri ini. Bersungguh menyampaikan..tapi jelas belum sempurna amalan. Digagahi jiwa untuk berperang...disangka persiapan sudah rapi. Rupa-rupanya perjalanan menuju Illahi masih lagi panjang. Sehingga terlupa bahawa keimanan hanya dapat dilihat saat kita diuji oleh Allah. Berjaya atau tumpas? Ataukah kita hanya duduk sahaja dan mengharapkan syurga tanpa pernah diuji? Sungguh dahsyat tipu daya syaitan.

'Aku dah berubah. Nak jadi baik. Tapi kenapa Allah uji aku lagi?' kata-kata yang mungkin pernah terpacul keluar dari bibir kita. Pernah satu masa kita sangka kita sudah baik..mengharapkan yang baik-baik sahaja. Tapi kita lupa bahawa Nabi Muhammad dan para anbiya' yang maksum itu juga diuji. Justeru, siapakah kita untuk tidak diuji oleh Allah s.w.t.? Hanya kerana taubat kita yang kecil itu, apakah kita menganggap kita bebas daripada ujian? Sedangkan Allah meminta kita untuk bertaubat dengan taubatan nasuha! bukan taubat yang main-main. Benci kepada dosa seperti bencinya ia untuk kembali kepada kehinaan. Sukarnya menggapai taubat nasuha.

Terkadang kita fikir kita sudah taubat. Menyesali segala perbuatan buruk kita. Berazam untuk menjauhi dan tidak sekali-kali mengulanginya lagi. Namun, ada masanya - saat kita lalai. Benteng jiwa kita rendahkan. Ketika itu dosa lama menggasak untuk kembali dilakukan semula. Kerana sesungguhnya dosa itu kelihatannya manis tetapi hakikatnya membawa azab yang kekal. Hati yang sakit dan dibiarkan tanpa rawatan akan terus hitam, keras dan lali. Hilang rasa bersalah, sedangkan hidup semakin punah.

Taubat Nasuha - senang dieja, senang disebut, senang difahami maksudnya. Tetapi merupakan satu perkataan yang sangat sukar untuk direalisasikan. Ia menuntut kepada begitu banyak pengorbanan. Hal-hal keduniaan yang dipandang seakan-akan indah perlu dilihat dengan pandangan akhirat. Panjangnya angan-angan perlu segera dimatikan dengan mengingati kematian. Kenikmatan dan kelazatan dunia perlu ditangkis demi memenangi usaha mujahadah dalam bertaubat. Tidak mudah. Tidak senang. Ada masa meter iman kita tinggi. Ada masa meter iman perlukan topupnya.

Namun, yang lebih utama adalah untuk tidak berputus asa dari rahmat pengampunan dari Allah. Kerana sifat putus asa sebelum sampai waktu tamat perjuangan adalah sia-sia. Biar banyak mana kita tersungkur, biar sakit mana kita menanggung didunia. Asalkan jangan putus asa dari perjuangan ini. Hati yang degil perlu dilunakkan. Jiwa yang keras perlu dilembutkan. Fikiran yang kusut perlu ditenangkan. Mencari kedamaian dalam indahnya taubat.

Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk melazimi taubat dan yang utamanya untuk taubat nasuha. Moga Allah mengizinkan kita mati dalam keadaan kita redha pada Allah dan Allah redha pada kita. Agar kita dapat menemui janji Allah itu benar - syurga itu benar dan neraka itu benar. Mizan itu benar, titian sirat itu benar. Kitab amalan itu benar dan telaga kautsar itu benar. Moga-moga Allah menerima ibadah dan taubat kita. Allahuma amin..



Yours,
M