Tuesday, 30 June 2015

Ada apa dengan Pelangi??

Assalamualaikum wbt..

Jam menunjukkan jam 1.20 pagi tanggal 30 jun 2015. Mata masih enggan melabuhkan tirainya. Mungkin kerana telah tidur di siang hari, atau mungkin kerana pemikiran yang kusut dan perlu diluahkan juga. Sebagai seorang yang kadang kala suka mempunyai gaya pemikiran sendiri, ada perkara yang tidak dapat aku luah menerusi kata-kata lisan. Sukarnya menyusun ayat untuk menzahirkan kecamukkan dalam hati. Perasaan sebal ini harus aku tuliskan, moga-moga aku boleh tidur selepas ini. Apa yang pasti, pemikiran ini sering menganggu malamku sejak dua-tiga hari yang lalu.

Ada apa dengan PELANGI?

Ya, sejujurnya pelangi yang menjadi trend di media sosial semenjak USA menghalalkan pernikahan sama jenis telah menembak tepat ke dalam hati aku. Aku bingung. Aku menjadi kelu. Aku reserve komentar aku. Tapi jauh di satu sudut hati aku menangis. Ya Allah, aku tak mampu..aku tak mampu memilih untuk bersuara kerana aku punya rakan-rakan yang tergolong dalam kumpulan itu. Diam aku bukannya menyokong, tapi aku buntu bagaimana lagi mahu aku zahirkan tentanganku.

Sakit. Itu yang aku rasakan. Selfish? Mungkin juga iya..Duhai diri yang jahil..Allah beri nikmat kepada aku untuk menuntut ilmu agama yang tidak aku sangka akan pernah dapat. Tapi untuk menegur rakan dengan hikmah dan agamamu aku masih belum mampu..wahai Allah..aku benar-benar mohon ampun. Satu persatu kenalanku Kau uji dengan pencerobohan pemikiran liberal dan isu LGBT. Dan aku? Aku berteleku di satu sudut menggumam kata-kata. Aku pernah berdialog dengan mereka. Wahai Allah..ampunkan aku..mungkin belum sempurna dakwah aku pada mereka sehingga mereka masih memilih untuk menentang syariatMu. Atau mungkin dosa aku yang menggunung tinggi menjadi asbab dakwahku tidak berkesan. Allahu Allah…aku hanya mampu menangis dan berdoa.

Kau hadirkan mereka dalam hidup aku sebagai ujian juga buat aku. Apakah aku sudah gagal dihadapanMu? Apakah aku sudah fail? Ampunkan aku wahai sahabat..aku berniat untuk kamu berubah tapi andai sahaja lisan aku lancar menyentuh hatimu..sahabat, aku tak sanggup tengok kamu menjauh dari agama. Aku kenal kamu-kamu semua dengan sangat terperinci. Kita sama susah dan senang dulu. Lantas bila aku berhijrah, aku ingin sekali kalian ikut bersama aku. Tapi aku sendiri masih rapuh, lantas bantuan yang aku hulurkan pada kalian juga rapuh. Maafkan aku sahabat. Aku gagal beri peringatan yang kekal dalam hati kalian. Mungkin kerana aku mengungkapkan dengan nada bersahaja, kau memilih untuk lupa. Tapi nama kalian tetap sahaja aku sebut dalam doaku..doaku ketika tawaf..doaku ketika di jabal rahmah, doaku di raudhah..dan doa-doaku di akhir solatku. Maafkan aku andai lisanku tidak tersampai pada kalian..aku titip doa kepada Allah kerana sesungguhnya Allah yang memegang hati kalian. Tapi setiap kali kalian menunjukkan kejahilan, aku menjadi sedih…sedih kerana aku tak mampu berdepan dan berdebat.

Wahai Allah, ampunkan kekurangan diriku. Dosa aku terlalu banyak lantas nasihat agamaMu seperti tidak terkesan oleh kerana dosaku. Maafkan aku wahai Allah…maafkan aku wahai sahabat. Jangan kau dakwa aku di masyhar nanti..jangan kalian menyalahkan aku di masyhar nanti kerana tidak berdebat dengan kalian sewaktu didunia. Ampunkan aku sahabat..



M.

Friday, 12 June 2015

Tolibun Ilm

Assalamualaikum WBT.
Bismillahirahmanirrahim. Segala puji bagi Allah yang mencipta langit dan bumi serta yang melimpahkan nikmat serta rahmat yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya yang sering kali lalai dan leka.

Entry kali ini kita menyelam ke dasar dilemma hati seorang da’ie. Ya..pada saya seorang guru itu walaupun bukan lahiran ijazah dari Al-Azhar atau mana-mana institusi agama yang agung, tetapi tetap juga merupakan seorang da’ie. Pembentuk jiwa serta akhlak anak muridnya. Ya Allah berat sungguh tugasan seorang guru jika kita perhalusi dari kaca mata agama. Sebab tu juga saya sering kali tewas dalam membulatkan tekad untuk apply posting. Takut pada amanah yang sangat tinggi. Sikap diri sendiri yang masih kurang tekad dalam urusan kerja membuatkan jiwa ini sering kali berperang antara mendidik dan ingin dididik. Ya Salam…kerdilnya saya.

“Kau ingat bila dah decide nak berpurdah tu dah cukup holy?” “Bila start join geng agama tu kau dah alim?”..Soalan2 yang saya lontarkan pada diri sendiri. Memang betul, diri ni kadang kala perlu disentapkan dengan soalan-soalan padu yang menusuk hati. Biar akal tu berfungsi balik. Ligat mencari jawapan pada setiap persoalan yang menyesakkan benak pemikiran. Sebab itu saat bila mana saya ingin mengeluarkan nasihat atau pendapat, saya jadi runsing. Adakah nasihat ini asbab dari rasa kepentingan peribadi atau kepentingan Allah dan agamaNya. Saya teringat kisah Saidina Ali r.a dalam salah satu perperangan yang dia ikut (maaf lupa perang yang mana).

Ketika itu Saidina Ali berjaya menumbangkan satu musuh kafir. Pedang Saidina Ali sudah bersiap sedia untuk menamatkan riwayat hidup musuh kafir itu. Tetapi, tiba-tiba si musuh kafir ini tadi meludah ke muka Saidina Ali. Lantas Saidina Ali berlalu meninggalkan musuhnya tu. Apabila ditanya oleh sahabat yang lain tentang kelakuan aneh Saidina Ali tersebut, Saidina Ali menjawab “Mulanya aku ingin membunuhnya kerana Allah, tetapi apabila dia meludah kepada aku, aku khuatir aku membunuhnya kerana perasaan marah disebabkan kelakuannya kepada aku dan bukan lagi kerana Allah”. Ya Allah…dalam keadaan genting seperti itu pun Saidina Ali masih jernih pemikirannya untuk berhati-hati sama ada kerana kepentingan diri atau hak Allah. Sedangkan saya masih jauh dari itu. Jauh sekali. Mungkin bukan dengan pedang, tetapi dengan lisan dan pena. Terkadang masih blur antara amarah diri atau menegakkan hak Allah. Ya Salam..Maafkan saya ya Allah. Hal  ini juga menyebabkan saya teringat kepada pesanan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid “Man Thomatan Najjah!” –Orang yang banyak berdiam itu dia selamat!- Selamat dari apa? Selamat dari disoal siasat oleh Allah tentang perkataan yang dikeluarkannya. Nah..sebagai da’ie @ pendakwah, lisan kita banyak sekali yang digunakan. Susun atur lisan kita seperti mana Saidina Ali tadi menguruskan mata pedangnya.

Allahu Allah…Jadi saya mahu atau tidak mahu harus belajar menyusun lisan dan pena sesuai kepada hak Allah. Maha suci Allah…berat sekali. Terkadang perempuan itu mendahulukan emosinya daripada rasional. Saat bilamana masyarakat melihat dia sebagai orang yang utuh, sedangkan jiwanya lompong. Masih perlu diingatkan dan dituntun. Dianya yang tidak punya lingkungan usrah, tidak juga akrab dalam organisasi dakwah..baru menginjak dalam dunia dakwah..keluarganya yang biasa-biasa. Saat itu perperangan hebat berlaku antara iman dan nafsu. Iman dituntun oleh ilmu, tapi nafsu sering menggunakan kelemahan sebagai senjata utama.

Wahai diri, kamu itu si penuntut ilmu. Murabbimu tidak calang orangnya. Kitab yang engkau pegang bersanad langsung sehingga Rasulullah s.a.w. Guru yang mengajarmu akhlak itu yang seiras sepenuhnya mengikut Sunnah Akhlak Rasulullah. Guru hadith mu itu bersanad terus kepada imam as-syafie. TAPI, engkau ini bagaimana? Masih tidak bertanggungjawab pada ilmu. Tidak berusaha mengamalkan ilmu. Masih pilih keseronokan dunia..Dunia begitu besar dalam hati kamu. Keluarkanlah ia dari jiwamu. Allah bersumpah dengan 11 kali sumpahan dalam surah As-syams!..iya..11 kali!
1.       Demi matahari
2.       Dan sinarnya dipagi hari
3.       Demi bulan apabila mengiringinya
4.       Demi siang apabila menampakkannya
5.       Demi malam apabila menutupinya
6.       Demi langit
7.       Serta pembinaannya
8.       Demi bumi
9.       Serta penghamparannya
10.   Demi jiwa
11.   Dan penyempurnaannya.
11 kali Allah bersumpah!..kalau Allah tidak bersumpah saja sesuatu itu memang perlu dipandang berat. Sedangkan ini Allah bersumpah dengan 11 kali sumpah. Tentulah perlu mendapat perhatian yang sangat khusus daripada kita. Kenapa Allah bersumpah sampai 11 kali? Apa yang Allah nak kita ambil berat sungguh?

-          Sungguh beruntung orang yang menyucikan jiwanya, dan sungguh rugi orang yang mengotori jiwanya (As-Syams: 9-10)

Menangis!

Dulu sangat sukar untuk diri ini menagih ilmu..Kaki sentiasa berat nak melangkah di medan ilmu..bab fardu ain lupa langsung. Kini Allah buka ruang dan peluang. Datang offer mencurah-curah. Sana-sini panggilan majlis ilmu. Sudah mula ada lingkungan pendukung yang akan cepat memberi sedar. Saya jadi terlalu cinta pada tanah ini. Tanah yang menjadi saksi suka duka kehidupan saya. Tanah yang melihat kejahilan dan kebangkitan saya. Allah beri rasa nikmat manisnya hidup berguru yang tak pernah saya rasa. Sungguh saya cinta tanah ini. Saya cinta tanah ini. Tak sanggup rasanya bertukar tanah jika bukan ada maslahat yang lebih utama. Saya tidak kejar kerja..saya takut jika saya hilang dari tanah ini, semangat saya jadi luntur. Ya Allah, kau berilah saya ini tempat yang mendekatkan saya kepadaMu. Rezekikan saya untuk sentiasa hauskan ilmuMu. Tuntun hati saya Wahai Allah.







Yours,
M.