Thursday, 12 March 2015

Andai Kamu Menjadi Imamku

Assalamualaikum WBT.
Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah menghidupkan kita selepas mematikan kita. Justeru nikmat yang manakah kau dustakan?

Andai kamu menjadi imamku,
Nikahilah aku dengan cara yang paling terhormat.
Seperti mana Rasulullah melamar Aisyah r.a

Andai kamu menjadi imamku,
Lindungilah aku dengan sehabis kudratmu.
Ingatlah kamu kepada ayat Allah:
‘Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dari hartanya . . .’ [An-Nisa’: 34]

Andai kamu menjadi imamku,
Ibumu akan menjadi yang nombor satu,
Akan tetapi,
Janganlah kamu menghalangi aku dari berlaku ehsan kepada ibu bapaku sendiri,
Sesungguhnya merekalah syurga pertamaku sebelum kehadiranmu.

Andai kamu menjadi imamku,
Usahlah kamu menghalang aku dari menuntut ilmu.
Kerana sesungguhnya aku cinta dan rindu dengan ilmu.
Demi sesungguhnya Rasulullah tidak menghalang para wanita pergi ke masjid untuk menimba ilmu.

Andai kamu menjadi imamku,
Bantulah aku dalam urusan rumahtangga.
Ingatlah kamu pada pesanan Nabi Muhammad:
Berbuat baiklah kamu kepada isteri kamu.

Dan,
Sabarlah kamu dalam mendengar leteranku.
Kerana sesungguhnya Saidina Umar r.a turut bersabar apabila dileteri.

Andai kamu menjadi imamku,
Teguhkan iman kamu seandainya kita lambat punya zuriat,
Demi sesungguhnya Nabi Zakaria a.s hanya mendapat anak di usia senja,
Namun itu tidak pernah menggugat imannya kepada Rabb.

Tetapi,
Andai Allah merezekikan zuriat kepada kita,
Usahlah kamu bermegah-megah dengan jumlahnya,
Kerana Allah berpesan:
‘Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk-tumpuk . . .’ [Ali-‘Imran: 14]
Dan jangan pula ia menghalangi kita dari tanggungjawab penuh terhadap agama.

Andai kamu menjadi imamku,
Usahlah kamu menyimpan kedukaan dan kesedihanmu,
Jangan kamu malu dilihat lemah,
Kerana sesungguhnya Rasulullah juga berbaring diriba Aisyah, disaat baginda sedih.

Andai kamu menjadi imamku,
Sekiranya kamu berjodoh lebih dari satu,
Doakanlah agar aku diberi kekuatan untuk menerima ketentuan itu,
Ingatkan aku bahawa kamu hanyalah pinjaman didunia, bukannya milikku mutlak.
Pujuklah aku dengan mengingatkan aku bahawa cinta Allah dan cinta Rasul perlu mendepani segalanya.
InsyaAllah, akan aku tegar menempuhinya.

Tetapi,
Usah kamu memulakan langkah itu dengan tidak mengawal ketat nafsu serta pancainderamu,
Sehingga terlanjur punya rasa kepada yang lain,
Sesungguhnya takutlah kamu akan azab Allah sekiranya kamu gagal berlaku adil.
‘Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil diantara isteri-isterimu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung . . .’ [An-Nisa’ :129]

Andai kamu menjadi imamku,
Peganglah erat-erat tali talak itu.
Ianya amanah terhebat kepadamu.
Peganglah talak itu ibarat nyawamu,
Kerana sesungguhnya ia amat berat.

Namun,
Andai terlerai juga dipenghujung jalan,
Andai yang diimpikan tidak sepertinya berlaku,
Andai tiada jalan pendamai yang lebih baik,
Maka lepaskanlah aku dengan terhormat –
‘Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (Kurnianya), Maha Bijaksana’ [An-Nisa’: 130]

Andai kamu menjadi imamku,
Pimpinlah aku menuju redha Allah,
Ingatkan aku dengan pesanan Rasulullah,
Didiklah aku dengan hikmah.





M.